Blog Seorang Blogger Yang Suka Blogging
20 Aug
Hari ni saya telah mendapat email bahawa saya telah di’tag’ oelh seorang rakan Facebook saya. Jadi saya pun bukalah akaun Facebook saya untuk melihat apakah gambar yang hendak ditunjukkan oleh rakan Facebook saya ni? Bila saya buka, rupanya gambar ni…

Saya ingatkan gambar apalah yang kawan saya ni nak saya tengok. Nak tahu apa saya buat lepas tu?
Saya klik pada gambar tersebut.
Saya cari nama saya kat bawah gambar tu.
Saya klik pada ‘remove tag’
Kemudian saya klik pada nama orang yang tag saya gambar tersebut.
Saya tengok dulu ‘mutual friends’ sebab nak tau connection saya dengan dia. Kadang-kadang ada yang saya approved je walaupun saya tak kenal. Saya sangka baik. “Diorang nak kawan dengan saya ni.”
Kalau mutual friends dia bukanlah dikalangan orang yang saya kenal, saya akan terus klik pada ‘Remove From Friends’
Jadi lepas ni tak dapatlah dia tag saya lagi sebab saya dah ‘remove’ dia dari senarai kawan saya di Facebook. Kalau kawan yang tag saya tu saya memang kenal, mungkin saya akan tegur dia mengatakan cara dia ni tak betul dalam promosi. Kenalah ada etika dalam mempromosikan bisnes.
Kenapa kena ada ‘double standard’? Kawan yang saya kenal takpe, yang tak kenal kena remove. Sebabnya senang je. Yang tak kenal ni biasanya dia add saya di Facebook semata-mata nak tag saya dengan promosi bisnes diorang. Tapi setakat ni takde lagi kawan-kawan yang saya kenal menggunakan tagging tu untuk tujuan tak beretika.
Facebok membenarkan aktiviti tagging ni sekiranya gambar tersebut ada kena mengena dengan orang di’tag’ itu. Kalau tengok balik pada gambar di atas tu, mana ada gambar saya. Memang gambar tu tak ada kena mengena dengan saya.
Kenapa kena buat macam ni?
1) Gambar yang di’tag’ tu akan berada di dalam ‘Profile Picture’ kita sekiranya kita biarkan. Kalau ada kawan-kawan lama nak tengok gambar-gambar kita, tiba-tiba ada keluar gambar macam gambar di atas. Jadi ia akan memburukkan album gambar kita di Facebook.
2) Gambar tu pun akan masuk ke Wall Facebook kita nanti sekiranya kita biarkan. Bagi saya kurang seronok bila tengok wall kita penuh dengan promosi bisnes saja. Saya suka kalau orang masuk wall Facebook saya dan diorang enjoy.
P/S : Saya sekarang ni agak aktif di Facebook. Ramai yang kongsi video kelakar…
17 Aug
Saya menjadi seorang blogger bukanlah disebabkan duit semata-mata. Kepuasan seorang blogger ni dirasai bila dia dapat meluahkan apa yang terlintas di dalam fikirannya dan dizahirkan ke dalam bentuk tulisan di monitor pembacanya. Siapa kata jadi blogger boleh dapat duit cepat?
Mana boleh tulis satu entri dah boleh dapat ribu-ribu RM masuk dalam akaun. Saya tak tahulah orang lain. Saya tak pernah lagi jadi macam tu. Menjadi seorang blogger perlukan kesabaran dalam menulis kerana blogger perlu hati-hati kadang-kadang tulisan itu mampu memberikan impak yang besar kepada diri sendiri dan masyarakat.
Bulan lepas saya balik ke KL jumpa parent saya. Sampai di rumah ayah saya kata tayar suspension belakang tu macam dah kena tukar. Dalam hati, “Patutlah kereta ni kuat melompat. Rupanya suspension dah nak jahanam dah.”. Pada masa yang sama tayar belakang pun dah botak.
Jadi saya pergilah ke kedai tayar dekat dengan rumah parent saya di KL. Bila dah sampai kedai, saya tengok suspension depan pun nak jahanam je. Sebab body kereta dan tayar dah rapat dah. Jadi saya kata kat tokey kedai tu, “Suspension tukar 4-4, tukar 2 tayar belakang sekali.”.
Suruhlah tokey tu kira, “960 ringgit bos”. Saya pun katalah, “Mahalnya! Tak ada diskaun lagi ka?”. Tokey tu kata, “Wa bagi lu servis alignment free.”. Saya pun, “OK lah”. Jadi saya tinggalkan kereta tu kat bengkel, petang tu ambil kereta balik. RM960 sudah terbang. Kereta punya pasal takpelah. Karang tak jalan pula.
Semalam pergi ke EON servis Alor Setar sebab dah sampai masa untuk servis. Sampai kat sana pukul 12 tengahari. Mekanik tu tengok meter, “Dah 83000 ni bang. Hari ni tak dan nak servis sebab kereta abang ni dah kena buat major servis.”. Adalah rasa kecewa sikit tapi nak buat macam mana? Yang saya pergi tidur balik lepas sahur pagi tadi kenapa?
Kalau pergi awal pagi mungkin dah boleh masuk servis dah. Saya set terus appointment servis dengan mekanik untuk buat rabu pagi. Bila nak balik, mekanik tu beritahu, “Kereta abang ni nak kena tukar ‘timing belt’ sekali. Major servis campur dengan pasang ‘timing belt’ dalam RM950.”.
Telan air liur kejap. Tak sampai sebulan tukar absorber dan tayar, melayang lagi RM950. Kira nak dekat RM2000 jugak lah habis kat kereta je untuk tempoh tak sampai sebulan ni. Ada ke duit nak raya nanti ni? Kereta wajib servis. Tak servis nanti tak balik kampung pulak.
Nak guna duit dari blogging manalah ada. Huhuhu… Blogger tengah terdesak nak guna duit ni. Sempat ke nak cover duit raya sebelum raya. Silap-silap anak buah saya dapat sampul kosong je raya nanti. Huhuhu… Kena fikir macam mana nak cover balik sebelum raya. Fikir-fikir….
16 Aug
Saya ada satu akaun twitter. Saya tak tahu kenapa saya kena ada akaun twitter sebenarnya. Saya cuma tahu ramai usahawan internet menggunakan twitter sebagai salah satu teknik pemasaran di internet. Dulu daftar je lepas tu biar. Tapi bila dah lama dalam internet marketing ni baru tahu sikit-sikit tentang twitter ni.
Di Malaysia saya rasa twitter ni tak lah begitu popular kalau nak dibandingkan dengan di luar negara seperti di US. Twitter ni macam Facebook sikit-sikit. Saya cuma letak status je pada akaun twitter saya. Yang lain saya tak tahu. Daripada apa yang diajar kepada saya, mula-mula kena add kawan-kawan dulu kat twitter ni. Macam dalam Facebook.
Tapi kawan-kawan dalam twitter saya kebanyakannya mat salleh. Kalau saya tak add diorang, diorang yang akan add saya. Tak sesuai jika saya gunakan add sebenarnya. Dalam twitter, mereka menggunakan perkataan ‘follow’. Sama ada kita jadi follower orang atau orang akan following kita.
Saya pun pernah berdaftar dengan Churpchurp sebab saja-saja. Mula-mula saya ingatkan Churpchurp ni macam twitter. Rupanya Churpchurp ni adalah satu medium iklan yang menggunakan twitter. Bagaimana saya tahu? Sebab selalu dapat kerja dari Churpchurp.

Kalau follower twitter kita ramai, Churpchurp akan hantar assignment untuk kita tolong promosikan iklan kepada folower-follower twitter kita. Iklan yang saya pernah promosikan seperti Honda, High 5 dan ada beberapa lagi saya tak ingat. Tugas dia mudah saja. Percuma saja.
1) Daftar akaun twitter
2) Mula-mula kita kena jadi follower orang
3) Kalau reputasi kita OK, orang akan jadi follower kita balik
4) Daftar akaun Churpchurp
5) Tunggu assignment atau kerja dari Churpchurp
6) Dapat assignment je terus promosikan kat follower twitter kita.
Lagi ramai follower twitter kita, peluang pendapatan lebih besar. Ada orang sampai puluh ribu follower. Untuk mendapat follower, ia akan ambil masa. Sebab cara promosinya mudah, saya teruskan. Lagipun pendaftaran semuanya percuma. Perlukan beberapa klik saja untuk lakukan promosi. Selamat mencuba.
14 Aug
Keyword ‘buat duit’ sangat popular pada hari ini. Sesiapa pun mesti nak letakkan website mereka di ranking pertama Search Engine Google untuk keyword ini untuk mendapatkan trafik. Tapi bila perkataan ‘buat duit’ selalu disebut, kita kadang-kadang terlupa tanggungjawab sebenar sebagai seorang manusia.
Saya bukanlah seorang yang sangat arif tentang agama tapi saya cuba ulas teori yang saya faham. Ada beberapa soalan yang saya nak tanya berkenaan dengan buat duit:
1) Kenapa nak buat duit?
2) Untuk siapa kita buat duit?
3) Untuk apa kita buat duit?
Dalam erti kata lain tujuan sebenar buat duit. Tak kisahlah sama ada di internet ataupun bukan internet. Ada yang akan kata untuk dapatkan kehidupan mewah, untuk senangkan keluarga, untuk bebas dan macam-macam lagi sebab. Tapi soalan yang paling penting untuk sebagai seorang manusia adalah apakah sumbangan kita kepada masyarakat?
Kalau dengan buat duit boleh membantu komuniti kita membangun, ianya satu perkara yang dipuji. Tapi kalau buat duit tu hanya untuk kita duduk di rumah goyang kaki, untuk kemewahan sendiri, jadi kita cuma boleh buat duit untuk dunia saja. Selepas mati apa yang kita bawa?
Saya menulis bukan untuk mengatakan saya membuat banyak sumbangan untuk masyarakat. Ini adalah pertanyaan kepada diri saya sendiri. Saya cuba untuk berniaga dengan cara yang betul. Tidak menganiaya orang dan saya harap boleh membantu orang lain. Bukan bantu orang jadi kaya tapi cuba membantu memenuhi keperluan orang lain.
Kalau kita sudah bekerja sebagai seorang Engineer, Doktor, Pensyarah ataupun pengutip sampah sekalipun, teruskan kerja tersebut kerana kerja tersebut kerja mulia. Kalau gaji menjadi masalah, cuba fikir balik adakah gaji yang kita habiskan tu sebab memenuhi keperluan diri kita ataupun keperluan hawa nafsu?
Saya sekadar berkongsi apa yang saya fikirkan. Dan saya terbitkan dalam bentuk penulisan. Sebagai muhasabah kepada diri saya juga. Terima kasih kerana membaca blog ini. Selamat membaca.
13 Aug
Sesiapa yang kerja makan gaji, pendapatan bukan lagi satu masalah kerana duit pasti dapat setiap bulan. Kalau tiada pendapatan tambahan, maknanya mereka perlu pandai menguruskan perbelanjaan bulanan mereka sebelum wang gaji mereka kehabisan sebelum menerima gaji seterusnya.
Saya dulu pernah kerja makan gaji. Sebelum mula bekerja, memang tak minat bisnes langsung. Tapi bila dah kerja, baru terasa nak tambah ‘income’ sebab rasa macam tak best setiap bulan dapat slip gaji dengan angka yang sama. Kadang-kadang angka tu berubah juga sebab dapat buat overtime.
Tapi buat overtime bukanlah satu kepuasan sebab gaji overtime dikira berdasarkan jam. Jadi saya cuba-cuba check bisnes apa yang ada di internet. Mula-mula saya join bisnes yang saya dapat daripada email seorang spammer(masa tu saya tak tahu apa tu spam). Bisnes tu adalah bisnes MLM. Lepas join bisnes tu, saya pun spam orang juga. Hehehe…
Masa dulu saya suka MLM sebab MLM boleh memberikan peluang pendapatan setiap bulan selagi ahli di bawah kita(downline) melakukan belian. Yang penting kita kena rekrut mereka masuk sebagai ahli. Tapi sekarang saya kurang berminat pada MLM sebab proses nak dapat duit biasanya lambat.
1) Join MLM
2) Kena maintain beli barang
3) Rekrut member baru
4) Kena educate downline maintain beli barang juga
5) Biasanya cukup sebulan dapatlah bonus dari syarikat. Ada juga syarikat MLM yang memberikan bonus secara mingguan. Cuma bezanya angkanya boleh berubah-ubah ikut sales rangkaian kita.
Apa yang saya nak cakap ialah MLM bukanlah satu bentuk ‘fast cash‘. Serupa macam makan gaji, tunggu cukup bulan baru dapat duit. Saya tak dapat lagi cara untuk mendapatkan ‘fast cash’. Yang saya tahu cuma MLM saja waktu tu. Masa saya mula kenal dunia blogging pun masih promosi produk-produk MLM.
Tapi sejak bekerja sendiri, saya perlu ada ‘quick income plan’(belajar dari The Four Weeks To Freedom). Pendapatan MLM bukanlah jaminan untuk terus survive sebab downline pun ada datang dan pergi(kejap ada kejap tak ada). Jadi saya perlu ada satu sumber pendapatan di mana bila saya nak guna duit, saya boleh dapat pada masa tu juga.
Antaranya saya sediakan servis design website, jual ebook RR, MRR, PLR dan cloth diaper. Lagipun prosesnya lebih mudah berbanding MLM. Untuk design, saya cuma gunakan kemahiran saya saja. Tanpa keluarkan modal pun tapi kena luangkan masa sedikit untuk membuat design.
Tapi bukannya selalu dapat upah design atau produk RR, MRR, PLR yang terjual. Tapi plan untuk survive dalam dunia tanpa gaji dah ada. Satu untuk ‘quick income plan’ dan satu lagi ‘long term income plan’. Quick income plan bolehlah bantu sikit-sikit untuk kurangkan beban duit minyak, servis kereta dan macam-macam lagi perbelanjaan yang urgent.
12 Aug
Saya ingat nak update blog siang tadi tapi tak sempat sampai terbawa ke malam pula. Sekarang ni dah pagi dah pun, pukul 1.08 am. Sebenarnya saya ada je depan laptop siang tadi. Perasaan nak update blog ketika perut kosong dan perut kenyang agak berbeza. Kalau perut kenyang, rasa senang hati je nak update blog.
Kalau tak ada idea nak tulis, saya pergi makan dulu. Lepas tu sambung balik blogging. Bila puasa, tak dapatlah nak generate idea blogging sebab tak dapat makan. Jadi malam saja waktu yang sesuai untuk saya update blog memandangkan malam saja yang boleh makan.
Tengah malam buta semalam saya dapat email yang tak disangka-sangka dari salah seorang usahawan internet tempatan yang tidak asing lagi iaitu saudara Rahman Basri. Beliau meminta saya menjadi rakan JV untuk membantu beliau mempromosikan produk terbaru iaitu Teknik Split Affiliate.
Beliau telah membenarkan saya mengulas dulu ebook beliau dan saya juga diminta memberikan testimoni terhadap produk beliau. Kalau tak percaya cuba tengok kat website Teknik Split Affiliate. Ada gambar saya kat situ dengan testimoni saya. Sebelum ni saya telah mendapatkan 2 produk beliau iaitu ebook Pakej Photoshop dan juga ebook Mahir Excel.
Penulisan beliau adalah berdasarkan pengalaman beliau dan bukannya ditiru di mana-mana. Sebab tu saya respek dengan saudara Rahman Basri ni(atau lebih dikenali sebagai RB di Wangcyber). Saya pun tak tau apa mimpi saudara RB ni bagi saya review ebook beliau. Jadi di sini saya nak ceritakan sikit apa yang saya dah baca kat ebook terbaru beliau.
Di dalam ebook Teknik Split Affiliate, beliau mendedahkan bagaimana beliau menghasilkan jualan dengan beberapa affiliate dan pada masa yang sama beliau juga berjaya menghasilkan jualan yang lumayan dengan produk beliau sendiri iaitu Panduan Emel. Mungkin orang akan kata, “Bukannya susah sangat nak jual semua ebook tu. Rajin promosi, dapatlah jualan.”.
Sebenarnya tak semudah itu. Di dalam perniagaan, di samping kita melakukan promosi, kita juga perlu membina hubungan baik dengan pelanggan. Kalau asyik promosi saja, pelanggan pun naik menyampah. Jadi di dalam ebook ini, saudara RB mendedahkan bagaimana beliau mengekalkan hubungan beliau dengan pelanggan pada masa yang sama menghasilkan jualan yang tinggi pada affiliate dan juga produk beliau sendiri.
Contoh yang akan membuatkan pelanggan menyampah:
Saya pergi ke Pesta Buku dengan isteri dan anak saya di Perlis pada awal tahun ni. Bila masuk saja ke Pesta Buku tersebut, seorang promoter datang dekat dengan saya, “Anak abang umur berapa? Jemput ke booth kami sebab kami nak terangkan tentang pendidikan yang terbaik untuk anak abang.”.
Walaupun pada ketika itu saya menolak dengan baik tetapi promoter tu masih ikut saya lagi, “Sekejap je bang. Bagi saya 10 minit je untuk terangkan kat abang.” Lepas tu saya buat tak tau je. Biarlah dia nak cakap apa pun. Yang pasti kalau saya nak round sekali lagi pun, saya takkan lalu depan booth dia.
Apa yang saya cuba jelaskan ialah cara promoter itu seperti memaksa saya. Akibatnya menimbulkan perasaan tidak suka kepada promoter tersebut dan promoter tersebut telah kehilangan seorang prospek(sayalah tu). Walaupun teknik tersebut mungkin berjaya bagi sesetengah orang tapi dari pandangan saya sebagai seorang pelanggan, saya tidak suka cara tersebut.
Teknik Split Affiliate milik saudara RB mendedahkan beliau tidak menggunakan ayat yang killer untuk menghasilkan jualan. Sebaliknya beliau menggunakan cara ‘soft selling’ yang lebih kepada membina hubungan dengan pelanggan. Bukan teknik promosi yang buatkan pelanggan lari.
Cuma saya nak ingatkan teknik beliau tidak sesuai digunakan sekiranya anda ingin menjual di pasar malam dan juga pesta buku kerana beliau menggunakan gabungan autoresponder dan juga Facebook sebagai medium pemasaran. Apa yang saya ceritakan di Pesta Buku tu sebagai contoh saja bagaimana pelanggan boleh naik menyampah dengan promoter.
Saya terlupa nak beritahu bahawa produk beliau kali ni adalah yang paling murah berbanding produk beliau yang sebelum ini. Saya tak pasti beliau akan mengekalkan harga murah ini atau tidak. Itu bergantung kepada beliau. Selamat mencuba.

10 Aug
Esok dah puasa dah. Harap tahun ni dapat puasa penuh. Tahun lepas tak dapat puasa penuh sebab masuk hospital 2 hari. Kena masuk air sebab demam. Masa tu doktor suspek demam denggi. Tapi bila check darah, tak ada tanda denggi. Syukur. Yang suka bisnes mesti dah siapkan kelengkapan untuk berjuang di bulan puasa.
Masa bulan puasa ni biasanya bisnes memang meletup. Antara bisnes yang kencang di bulan puasa:
1) jual tudung
2) jual kuih raya
3) jual songkok
4) jual kain
5) kedai menjahit baju raya
6) meniaga kat bazar ramadhan
7) jual mercun(dah diharamkan pun ada juga yang jual)
servis kereta(ramai nak balik kampung)
9) jual tupperware(nak isi kuih raya)
10) banyak lagi jenis bisnes yang akan kencang di bulan puasa ni
Dulu-dulu saya ada kawan yang suka berniaga kat bazar ramadhan. Asal bulan puasa je mesti dia tak ketinggalan jual air. Saya tak pernah lagi merasa berniaga di bazar Ramadhan. Kadang-kadang rasa teringin juga. Kalau tak berniaga kat bazar pun, apa yang kita nak diniagakan masa bulan puasa ni?
Kalau nak berniaga macam tudung atau songkok, kita mesti cari dari pembekal sebenar. Baru dapat untung lebih sikit. Jangan ambil orang tengah antara kita dengan pembekal. Sebab tu lah harga songkok atau tudung tu mahal daripada selalu sebab orang tengah dah makan sikit.
Untuk mendapatkan untung lebih, lebih baik kita jual produk sendiri. Yang mudah dihasilkan biasanya produk makanan macam kuih raya ke, air jus jambu untuk bazar ramadhan ke. Saya tengah fikir nak belajar buat dadih. Buat dan supply je lah. Nak jual kat bazar dah tak larat kot.

Tahun ni tak sempat agaknya nak supply. Tahun depan kalau ada rezeki dan umur panjang, boleh cari kawan2 yang meniaga kat bazar dan hantar je dadih. Panduan dah ada. Cuma follow je. Teringin nak merasa nikmat berniaga bulan Ramadhan.

9 Aug
Syukur semalam ada pelanggan nak beli 5 set cloth diaper untuk kakaknya yang baru dapat anak. Saya rasa kagum juga orang yang belum ada anak tapi belikan cloth diaper untuk orang yang ada anak. Jarang perkara ni berlaku. Mungkin sebagai hadiah saja atau mungkin beliau faham keistimewaan cloth diaper.
Saya tak berani nak tanya banyak sebab tu semua hak privasi pelanggan. Kalau tanya banyak sangat takut dia tak jadi beli pula. Hehehe… Nak tanya sebab nak tau tentang background pelanggan sikit-sikit. Kesedaran tentang cloth diaper masih lagi tak ramai yang tahu. Kalau sebut lampin, yang popular adalah huggies, pampers, drypers dan macam-macam lagi brand.
Semalam pelanggan ni hanya hubungi saya melalui Yahoo Messenger. Ada beberapa pertanyaan sebelum dia membeli.
Soalan 1: Ada tak cloth diaper untuk newborn?
Jawapan 1: Cloth diaper ni boleh pakai dari newborn sampai ke umur 3 tahun(lebih kurang 3kg – 15kg).
Soalan 2: Boleh masuk washing machine?
Jawapan 2: Boleh. Tapi kalau dia buang air besar, kena buang dulu najis dia.
Soalan 3: Apa beza 1 insert dengan 2 insert?
Jawapan 3: 1 insert boleh tahan 3-4 jam. 2 insert boleh tahan 3-5 jam. Bergantung kepada kekerapan anak buang air.
Soalan 4: Beli cloth diaper dapat sekali dengan insert ke?
Jawapan 4: Ya. Dapat sekali dengan insert.
Soalan 5: Macam mana nak beli?
Jawapan 5: Mula-mula kena register dulu kat sini. Lepas tu login kat sini. Lepas tu klik kat barang mana yang nak dibeli.
Soalan 6: Berapa harga postage?
Jawapan 6: Kos penghantaran akan dicaj RM10.
Begitulah lebih kurang perbualan saya dengan pelanggan saya melalui YM malam tadi. Kalau duk sebelah rumah saya, saya tak kenakan caj kos penghantaran. Hehehe… Hari ni dapat SMS, “Salam abg pali,rm220 ntuk diapers da dimasukkn ke maybnk”. Syukur alhamdulillah.
8 Aug
Bila dah mengandung, biasanya klinik akan suruh ibu-ibu datang ke klinik untuk periksa gula dalam darah. Saya tak berapa pasti tempoh pengambilan gula ni. Tapi kalau masa pertama kali periksa, kandungan gula dalam darah tu tinggi, klinik akan suruh datang selalu sebab diorang nak monitor kandungan gula.
Ibu-ibu akan disuruh berpuasa sebelum datang ke klinik. Kena puasa dalam 10 jam kalau tak silap. Ibu-ibu akan diminta jangan makan apa-apa sebelum darah diambil. Selepas darah diambil untuk periksa kandungan gula, kena minum air gula lagi. Lepas tu kena periksa kandungan gula sekali lagi.
Mungkin klinik nak memastikan air gula yang diminum tak ada kesan pada kenaikan kandungan gula dalam darah. Inilah kerja saya hari ni. Bawa isteri dan anak ke klinik. Dari pagi sampai tengahari. Isteri kena periksa gula. Anak pula kena buat pemeriksaan rutin. Dalam pemeriksaan anak kali ni, berat anak masih sama macam bulan lepas.
Nurse tu tanya,”Anak tak nak makan ke?”. Saya cakaplah anak saya makan macam biasa. Kadang-kadang senang. Kadang-kadang susah nak bagi makan sebab dia nak main. Dah berapa bulan dah berat Faiq tak naik-naik. Tapi sepanjang pemerhatian saya, dia aktif. Kuat berlari. Bila dia lapar, dia pandai cari makan sendiri.
Dan kebetulan pula ada penerangan tentang penyusuan badan untuk bakal ibu. Saya dan isteri pun masuk ke dalam bilik kaunseling untuk dengar penerangan tersebut. Bila dengar, baru saya tahu beberapa fakta tentang kebaikan susu ibu. Fakta ni boleh digunakan untuk menangkis serangan yang berkaitan susu formula.

Masa mula-mula dapat anak dulu. Mertua saya dengan mak saya agak bising juga sebab tak bagi anak susu formula. Tapi saya buat tak tau je. Masa tu saya pandai nak arguing dengan fakta tapi yang saya tahu susu ibu ni memang untuk anak. Susu ibu ni memang anugerah Tuhan untuk anak.
Kita pun hidup sampai ke hari ni disebabkan susu ibu. Zaman sebelum ada susu tin dulu, diorang bagi anak minum guna susu ibulah. Jadi saya percaya pada susu ibu. Isteri saya pun memang nak menyusukan anak dengan susu badan. Biarlah orang kata kita nak jimat ke nak apa ke. Saya tetap yakin susu ibu adalah yang terbaik untuk anak.
7 Aug
Malam tadi rasa mengantuk sangat. Kat TV3 ada cerita Italian Job. Pukul 12 ada Nightline. Jadi Italian Job akan disambung selepas berita Nightline. Saya tukar channel ke TV2. Ada cerita ‘I Am Sam’. Isteri saya kata kata cerita ni best. Dalam hati saya rasa Italian Job lagi best agaknya.

Masa ni dah mengantuk sangat sebenarnya. Dalam ngantuk-ngantuk tu saya layan gak kejap cerita ‘I Am Sam’. Cerita dia pasal orang terencat akal yang menjaga seorang bayi perempuan sampai budak ni umur 7 tahun. Cerita ni memang tak boring. Cerita ni ‘touching’ sikit.
Orang terencat akal ni nama dia Sam. Dia ditipu oleh seorang perempuan yang tidak mahukan anaknya selepas selamat bersalin. Sam ingatkan dia akan jaga bayi perempuan tu bersama dengan ibunya. Tapi masa keluar hospital, ibu bayi tu lari dan hilang. Sam tak tau nak buat apa mula-mula tapi dia terus menjaga bayi tu.
Ada beberapa part saya miss sebab saya dah masuk bilik untuk tidur. Tapi sebab teringin nak tau macam mana ending cerita tu, saya bangun tidur balik dan mengadap TV balik. Sam dibantu oleh jiran dia yang bernama Annie dan juga kawan-kawannya yang terencat akal dalam membesarkan bayi perempuan tu yang bernama Lucy.
Sampai umur 7 tahun, Lucy menjadi lebih bijak daripada Sam. Kalau selama ni Sam membacakan buku kepada Lucy tapi bila Lucy dah berumur 7 tahun, dia pula yang membaca buku untuk Sam. Sekolah Lucy meragui keupayaan Sam dalam menjaga Lucy dan takut sekiranya Lucy tidak berminat untuk belajar bersungguh-sungguh kerana Sam.
Jadi perkara ini telah dibawa ke mahkamah. Sam telah dibantu oleh seorang peguam yang memberikan khidmat peguam secara Pro-Bono(percuma). Peguam ni cuba membantu Sam mendapatkan Lucy kerana dia dapati Sam sangat menyayangi Lucy dan begitu juga sebaliknya.
Walaupun Sam telah kalah dan Lucy kena tinggal dengan keluarga angkat yang baru. Mereka tetap tak boleh berpisah. Sam berpindah berdekatan dengan rumah keluarga angkat Lucy. Setiap malam Lucy akan keluar pergi ke rumah Sam untuk tidur. Kemudian Sam akan menghantar Lucy semula ke rumah keluarga angkat apabila Lucy sudah tidur.
Oleh kerana nampak kesian pada Lucy dan Sam, ibu angkat Lucy pun membenarkan Lucy tidur di rumah Sam dan mereka bekerjasama membesarkan Lucy. Cerita ni happy ending. Sampai tak jadi tidur dibuatnya. Saya suka dengan kecekalan Sam tu jaga Lucy dari bayi sampai dia besar.
Teringat saya masa mula-mula jaga Faiq. Mula-mula tu memang kelam kabut. Pengalaman tak ada walaupun ada adik 3 orang. Hehehe… Saya bukanlah abang yang rajin jaga adik masa kecil-kecil dulu. Semoga saya cekal memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah.
Komen Terkini